Thursday, January 21, 2010

Siapakah orang yang ...........??


Siapakah orang yang SIBUK?

  • Orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah dia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Siapakah orang yang MANIS SENYUMANNYA?
  • Orang yang ditimpa masalah lalu dia berkata," Inna lillahi wa inna ilaihi rajiuun."Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi, aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang KAYA?
  • Orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang bersifat sementara.

Siapakah orang yang MISKIN?

  • Orang yang tidak puas dengan nikmat yang ada dan sentiasa mengejar harta kemewahan.

Siapakah orang yang RUGI?

  • Orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadah dan amal kebaikan.

Siapakah orang yang PALING CANTIK?

  • Orang yang mempunyai akhlak yang baik.


Siapakah orang yang mempunyai RUMAH PALING LUAS?
  • Orang yang mati membawa amalan kebaikan di mana kuburnya akan diperluaskan saujana mata memandang.


Siapakah orang yang mempunyai RUMAH YANG SEMPIT LAGI DIHIMPIT?
  • Orang yang mati tidak membawa amalan kebaikan lalu kubur menghimpitnya.


Siapakah orang yang mempunyai AKAL?
  • Orang yang akan menghuni syurga kerana telah menggunakan akalnya sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.

Dendam yang tiada kesudahan..

Aini, guru kelas Tadika menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci.

Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastik berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima biji dan paling banyak lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci.

“Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya” beritahu Cikgu Aini. Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg.

Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk . Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat, badan berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan.
Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Aini sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa.
“Okey semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?” tanya Cikgu Aini. Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk.
“Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu” beritahu Cikgu Aini.
Cikgu Aini mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik darpada membenci.
Moralnya, jangan letak pisang dalam beg. Jangan simpan kebencian, dendam kesumat dan apa-apa yang mazmumah dalam hati.. Macam pisang yg makin membusuk, begitu juga hati.


Wednesday, January 20, 2010

Tetapkan matlamat untuk berjaya

Tetapkan matlamat anda..Ke mana hala tuju anda selepas ini...

Apa itu matlamat?? Adakah ia penting untuk menentukan KEJAYAAN seseorang itu?? Ya..matlamat adalah penting dan perlu ditetapkan sebelum kita mencapai apa yang dihajati. Cuba fikirkan sejenak, sekiranya anda tidak pasti apa yang anda inginkan, bagaimana mungkin anda membuat perancangan dan mengatur langkah untuk mendapatkannya? Tanpa matlamat yang tetap hidup kita akan sia-sia. Tanpa matlamat masa akan terbuang begitu sahaja tanpa disedari. Kita perlu ingat bahawa matlamat akan memandu kita ke arah mencapai impian kita. Oleh itu, sebelum memulakan sesuatu kita perlu menetapkan matlamat terlebih dahulu.
'Imagination is power than knowledge
'
'Einstein'

Ya, tepat sekali...imaginasi atau impian itu lebih berkuasa dari ilmu pengetahuan. Ini kerana impian akan mendorong kita ke arah tindakan yang akan dibuat. Bagaimana ingin mencapai impian tersebut? Semestinya ia memerlukan kegigihan dan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kejayaan yang diimpikan..

Apa matlamat anda?? Kita tidak tahu apa akan jadi pada masa depan kita. Kita hanya mampu berusaha untuk mencapainya dan jika kita mempunyai matlamat sudah tentu ia menjadi pemandu arah untuk kita mencapai impian tersebu
t. Sekiranya hidup seseorang itu kosong tanpa matlamat hidup, nescaya suatu hari nanti dia akan menyesal dan akan mengungkit tentang masa lalu. Mungkin dia akan mengatakan 'kalaulah dulu aku rajin...mungkin sekarang aku tak jadi seperti ini'...Inilah tabiat dan perangai kita yang suka menggunakan 'kalaulah...'. Oleh itu, saya berpesan kepada kawan-kawan semua dan juga diri saya sendiri untuk tidak mengamalkan sikap ini. Tetapkan matlamat dan berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Jika kita rajin berusaha, sudah pasti kejayaan itu milik kita. InsyaAllah..
Pecutan akhir...ke garisan..sedia...mula...

Gigihnya makhluk Allah...

Terpanggil saya untuk menceritakan tentang kegigihan dan kerajinan makhluk Allah yang bernama semut. Sikap ini sepatutnya diteladani oleh umat manusia.


Setiap orang dilahirkan untuk menjadi juara. Tidak ada alasan untuk seseorang itu mengatakan bahawa dia tidak boleh berjaya. Kejayaan seseorang itu bergantung kepada sejauh mana seseorang itu berusaha untuk mencapainya. Ini dapat diibaratkan seperti 'mengasah belakang parang, akhirnya akan tajam jua'. Satu lagi perumpamaan Inggeris iaitu 'a steady drop hollow a stone' iaitu sesuatu usaha yang berterusan akan membuahkan hasil. Jika kita berterusan melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh maka kita akan mendapat hasil yang memuaskan dan tentunya kita akan memperoleh kejayaan yang diimpikan setiap manusia.
Istilah JEMU tidak seharusnya ada dalam diri kita walaupun apa jua status kita sama ada pelajar, pekerja dan juga sesiapa sahaja. Jika kita merasa jemu dalam sesuatu tugasan kita maka kita akan menjadi kurang bersemangat untuk meneruskan apa yang sepatutnya kita lakukan dan mungkin juga kita lakukan sesuatu itu kerana terpaksa.



I’m so tired today *_*

Hari ni aku rasa sangat kelam kabut dan sangat penat. Dari pagi hingga ke petang kelas dan malam pula ada discussion. Sangat penat…tapi inilah tanggungjawabku bergelar pelajar. Bukan tak biasa dengan rutin harian seperti ini tapi banyak benda sebenarnya yang menekan perasaanku.

Aku sedar, aku harus kuat dan meneruskan usaha murniku untuk menjadi orang yang berjaya suatu masa nanti. InsyaAllah jika aku mempunyai keyakinan dan keazaman yang kuat aku pasti akan berjaya. Aku tidak akan menghampakan kedua ibu bapa dan juga keluargaku. Ya..tidak sekali-kali aku ingin melihat mereka berduka. Apatah lagi mereka banyak berkorban untukku..wang, tenaga dan masa banyak dihabiskan semata-mata untuk menjaga kebajikanku.

Aku sedar, sebagai seorang anak aku perlu kuat dan membalas jasa mereka. Tapi apa lagi cara yang ada untukku membalas segala jasa mereka melainkan aKEJAYAAN yang ku berikan kepada mereka. Moga impian murniku untuk menjadi kaunselor tercapai jua. Amin…dan kesedaran inilah yang membuatkan aku kuat berada di sini untuk meneruskan perjuanganku yang belum selesai.

Walaupun sesibuk mana sekalipun, aku takkan melupakan tanggungjawab sebenarku sebagai pelajar. Aku akan cuba meningkatkan pengetahuan dan juga kemahiran sebagai kaunselor. Aku perlu bersedia lebih awal lagi untuk menghadapi saat-saat bergelar seorang kaunselor. Apa yang penting, kita perlu tahu untuk menguruskan masa secara efektif. Itulah kunci kejayaan kita. Yakin boleh dan pasti kita akan berjaya. Kita dilahirkan untuk menjadi juara. Sesiapa sahaja boleh berjaya asalkan dia yakin dengan kemampuan dirinya. InsyaAllah kejayaan itu milik kita.

Tuesday, January 19, 2010

Alhamdulillah, aku terpilih jua...

Fuh!!! Lega...dapat juga aku g Gunung Tahan nanti..hehe...malam ni ada meeting Kembara Eksplorasi Gunung Tahan pukul 9 kat bilik JMK.

InsyaAllah aku akan berusaha keras untuk membuat latihan dan persediaan untuk mendaki gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia.

Aku nekad, walau apa pun yang berlaku aku takkan mengalah dan nekad untuk menyertai program ini.

Hope aku dpt luangkan masa untuk membuat latihan pada setiap malam dan tak mengabaikan tugasan yang perlu disiapkan. InsyaAllah...

Sunday, January 17, 2010

Guru, pelajar celik komputer terus meningkat

Inilah cabaran yang akan dihadapi oleh seorang guru terutamanya 'KAUNSELOR' jika mereka kurang mahir dalam teknologi masa kini. Di sekolah, kebanyakan pelajar sudah mahir menggunakan teknologi ini dan amat memalukan sekiranya guru-guru tidak tahu menggunakan aplikasi ini. Pelajar mungkin akan memandang serong terhadap guru berkenaan dan secara tidak langsung ia menjatuhkan imej guru di mata pelajar. Bagi mengelakkan perkara sebegini berlaku, para guru perlu mempunyai kemahiran ini dan dapat memberi contoh dan tunjuk ajar kepada para pelajar.
Di sini, saya ingin mengaitkan dengan kemahiran menggunakan blog. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pensyarah saya iaitu En. Abd Aziz b. Mohd Yatim kerana telah membuka minda para pelajarnya untuk memiliki blog sendiri. Saya mendapat makluman daripada rakan-rakan senior saya bahawa semasa Semester 6 nanti, setiap orang diwajibkan memiliki blog sendiri. Tanpa berlengah lagi, saya telah meminta tunjuk ajar daripada beberapa orang senior saya untuk membuat blog. Terima kasih daun keladi...
Kepada rakan-rakan yang belum memiliki blog, saya syorkan anda membuatnya dan jika tidak tahu cara untuk membuatnya, anda bolehlah bertanya kepada rakan-rakan yang lain kerana melalui blog ini juga kita boleh berkomunikasi antara satu sama lain dan sebagai medium untuk memenuhi masa lapang.

Saya tertarik dengan isu "Guru, pelajar celik komputer terus meningkat" yang dimuatkan dalam akhbar BH. Saya telah meng'copy' and 'paste' keratan akhbar tersebut untuk dimuatkan dalam blog saya.

Oleh Azran Jaffar di London
bhnews@bharian.com.my

MUHYIDDIN berbincang dengan Brown (kiri) sebelum majlis perasmian Forum Dunia Pembelajaran dan Teknologi di London.

KAJIAN dibuat British Commonwealth Group (BCG) dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri pada 2008 menunjukkan kadar celik komputer di kalangan guru dan pelajar Malaysia adalah tinggi sejak bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) diperkenalkan dalam sistem pendidikan.

Malah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia turut membawa peningkatan dalam keberkesanan dan kreativiti pembelajaran dan pengajaran serta keberkesanan pengurusan dan komunikasi di kalangan mereka yang terbabit.

"Ini adalah hasil inisiatif yang dilakukan dalam menangani cabaran ketika menerapkan ICT dalam sistem pendidikan pada 1997 dan Malaysia boleh berbangga kerana apa yang dilakukan itu memberikan impak yang positif," katanya. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian pada ucaptamanya di Forum Dunia Pembelajaran dan Teknologi yang diadakan di London County Hall di sini, semalam. Forum tiga hari itu dihadiri 75 Menteri Pelajaran dari seluruh dunia.

Muhyiddin berkata, antara inisiatif dilakukan adalah penggunaan layaran video pengajaran melalui laman web yang dimanfaatkan 9,331 sekolah melalui penyediaan rangkaian jalur lebar bagi merapatkan jurang digital sekolah luar bandar dan bandar. Komitmen kerajaan mempertingkatkan ICT dalam sistem pendidikan menyaksikan 6,633 makmal komputer dibina di seluruh negara, selain 3,092 pusat akses sekolah yang menggunakan konsep kafe siber di kawasan luar bandar.

"Bagi menghadapi cabaran ICT dalam pembelajaran, tahap profesionalisme guru adalah kunci dan untuk itu kursus pembangunan yang berterusan untuk pengajar, pentadbir, pengetua dan guru akan diadakan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Britain mahu menjalin hubungan rapat dengan Malaysia dalam bidang pendidikan sebagai usaha meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara. Muhyiddin berkata, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Britain, Gordon Brown ketika pertemuan mereka pada majlis pembukaan Forum Dunia Pembelajaran dan Teknologi di sini, kelmarin.

Malam kelmarin, Muhyiddin turut melancarkan logo dan kempen 2010 Malaysia Kitchen yang diadakan di Restoran Jom Makan di sini. Kempen yang dijalankan sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat London mengenai masakan Malaysia adalah inisiatif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Sementara itu tukang masak terkenal Britain yang juga dikenali kerana kritikan pedasnya terhadap masakan, Gordon Ramsay, ketika ditemui berkata, beliau amat menyukai masakan Malaysia kerana keunikannya.

(Sumber: Berita Harian; Ahad, 17 Januari 2010)

Masalah 70 graduan UPSI akan diselesai

PULAU BANGGI: Kementerian Pelajaran berusaha menyelesaikan masalah 70 graduan Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Sekolah Rendah) dengan Kepujian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim yang dikatakan masih menunggu penempatan sesi persekolahan 2010 berikutan Kementerian Pelajaran tidak menempatkan graduan universiti di sekolah rendah.
Timbalan Menterinya, Dr Fuad Zarkashi berkata, kementerian itu berfungsi menempatkan graduan universiti mengajar di sekolah menengah manakala lulusan Institut Pendidikan Guru (IPG) di sekolah rendah.
“Bagaimanapun, guru berpendapat mereka mengikuti pengajian pendidikan sekolah rendah seharusnya ditempatkan pada peringkat sekolah terbabit.” katanya.

(Berita Harian; Ahad, 17 Januari 2010)

Saturday, January 16, 2010


Funny Friends
Grab a new Myspace Layout


Thursday, January 14, 2010

Impianku...


Mulai dari tangga bawah...kejayaan pasti menjadi milik anda...


Berusahalah untuk mencapai kejayaan. Anda pasti boleh!!!


Setiap orang dilahirkan untuk menjadi juara!!!
Mungkinkah kejayaan milik kita? aku amat mengharapkannya...

Kampus Way of Life

'READING is a basic tool in the living of a GOOD LIFE..'
(Mortimer J. Adler)

Memang benar, dengan membaca kita akan tahu segala-galanya. Kebanyakan orang yang berjaya adalah orang yang selalu berdamping dengan buku. Sudah semestinya mereka digelar 'ulat buku' kerana setiap masa dihabiskan bersama buku-buku yang pelbagai jenis. Adakah sikap suka membaca ada pada diri kita? Tepuk dada tanya selera.. Bagi diriku sendiri, tabiat membaca masih kurang dan perlu dipertingkatkan bagi kegunaanku pada masa hadapan. Pelbagai info baru akan diperoleh jika kita suka membaca..Semakin banyak kita membaca, maka semakin banyaklah benda yang kita tidak tahu..

'Everything in the world to end up in a book'

Aku setuju dengan ayat ni kerana apa sahaja permasalahan kita sudah ada cara penyelesaiannya yang tertulis dalam buku. Contohnyayang paling mudah ialah AL-Quran. Apa sahaja yang berlaku di pentas dunia ni semuanya tertulis dalam kitab ini. Hanya kita yang tidak mengkajinya.

Fitness Test--->Gunung Tahan

Semalam aku pergi ke fitness test untuk pergi Gunung Tahan..kalau aku terpilih kali ni bermakna ini merupakan kali kedua aku mendaki gunung..aku harap aku terpilih untuk xpdc pada kali ini. Tapi bila ada seorang sahabat yang tidak meyakini kebolehanku, aku tercabar..Mungkin sahabat ini tidak tahu karakter diriku sepenuhnya dan aku juga tidak pernah memberitahunya bahawa aku pernah menjejak kaki ke puncak Gunung Kinabalu. Tapi biarlah rahsia...Hanya orang-orang tertentu sahaja yang tahu aku pernah ke sana. Aku rasa dia tidak perlu tahu...Sedikit sebanyak aku tercabar dengan ketidakpercayaannya terhadap kemampuan diriku..Akan aku buktikan padanya...Mungkin kerana aku perempuan, dia tidak mempercayainya...Tapi biarlah, hanya aku yang tahu perihal diriku...


"Usaha tangga kejayaan dan mind set adalah perkara paling penting".





Jika kita meletakkan mind set bahawa kita mampu melakukannya maka InsyaAllah kita akan cuba membuat yang terbaik untuk mencapai apa yang dihajati. Kekuatan fizikal dan mental adalah penting untuk mendaki gunung tersebut. Jika kita hanya kuat dari segi fizikal sahaja tidak mencukupi sekiranya keyakinan diri kurang. Jadi kedua-duanya adalah penting kerana ia saling berkait. Mulai sekarang aku akan cuba membuat latihan supaya aku terpilih untuk menyertai xpdc pada kali ini.
Pada mulanya aku tidak sempat menulis nama di memo yang ditampal di foyer KAb. Aku agak terkilan kerana tidak sempat berbuat demikian. Malah aku tidak sempat melihan memo yang ditampal di foyer kerana aku berada di kampus sepanjang hari dan apabila aku pulang ke kolej, aku mencari-cari memo tersebut tapi malangnya memo itu sudah ditanggalkan. Aku kecewa...huhu...Mungkin aku tidak berkesempatan untuk menyertainya...Sekali lagi aku terKECEWA...
Dan bagaimana aku boleh menyertai fitness test ini??? Kebetulan semasa aku nak pergi ke taklimat kolej, aku ternampak Amri dan Epul kat foyer. Mungkin aku boleh bertanya kepada mereka tentang kekosongan tempat untuk pergi ke Gunung Tahan. Alhamdulillah aku diberi peluang sekali lagi untuk menyertainya. Tapi ini tak bermakna aku boleh pergi ke sana kerana sesi pemilihan belum dibuat lagi..Tunggu fitness test dan selection dibuat oleh mereka yang terlibat. Ku mengharapkan agar aku terpilih...Amin...
Masa fitness test tu hanya beberapa orang pelajar sahaja yang menyertainya. Aku mendapat makluman bahawa 4 orang pelajar telah menarik diri untuk tidak menyertainya. Mungkin mereka tidak sanggup menyahut cabaran ini atau mungkin juga mereka mempunyai hal lain yang ingin dilakukan semasa cuti raya cina nanti. Think positive Aini...

Semasa sesi pertama hanya ada 3 orang pelajar lelaki dan 4 orang pelajar perempuan. Semuanya terdiri daripada pelajar Sem 1 dan hanya aku seorang sahaja Sem 6. Tapi aku tidak berasa kekok kerana aku sudah mengenali mereka. Buat biasa sajalah..nak malu apa kan..Aku kan senior..hehe..(Oppssss...jangan riak Aini, tak baik tau...) kami diarahkan untuk berlari mengelilingi kolej sebanyak 2 pusingan, sama juga seperti latihan untuk ke Gunung Kinabalu yang lepas. Kali ni larianku agak perlahan kerana aku sudah lama tidak membuat kerja-kerja sebegini...hehe...nampak sangat malas nak bersenam...ada aktiviti baru nak lari..Hmm..kalau macam ni layak ke aku nak join xpdc ni...Aku mencatatkan masa 11 minit 13 saat...mana taknya, semasa berlari-lari tu aku sempat bersembang dengan Ustaz Rosli dan sape-sape je yang aku nampak...Aini...Aini...tak habis-habis nak menegur orang walaupun ada perkara penting nak dibuat...mungkin inilah tabiatku yang suka bertegur sapa di mana jua berada...haha...macam iklan Digi la pulak...
Seterusnya datang lagi 2 orang candidate untuk diuji bakat...haha...macam nak buat selection untuk anugerah bintang-bintang la pulak..mereka adalah sahabatku yang turut menyertai xpdc menawan Gunung Kinabalu...Gee dan Sofie..Mereka mencatatkan masa yang lebih baik daripadaku..tahniah ye...
Xpdc ini dijangka akan dibuat semasa cuti raya cina iaitu 13-21 Februari. Aku perlu korbankan masa cuti ku jika aku ingin menyertai xpdc ini tapi aku lebih suka menghabiskan masaku di sini daripada tidak membuat apa-apa di rumah.

So, aku perlu meluangkan masa pada waktu malam untuk membuat latihan sebagai persediaan untuk ke sana. InsyaAllah aku yakin dengan kemampuanku..Aku akan berusaha sedaya upaya untuk memantapkan stamina..Aku perlu kuat..ya..aku perlu kuat...Aini boleh!!!

Daripada banyak-banyak benda yang aku bebelkan di atas ni, aku dapat la buat 'THE MORAL OF THE STORY' sikit yang boleh dikongsi bersama...
  1. Semangat dan usaha tangga kejayaan. Apa jua keadaan diri kita (maksud aku keadaan fizikal), yang penting kita perlu kuatkan semangat kita untuk mencapainya.
  2. Mind set sama ada positif atau negatif akan mendorong kita untuk mencapai sesuatu yang diinginkan.
  3. Sesuatu yang diinginkan akan tercapai sekiranya kita berusaha lebih dan YAKIN dengan diri kita. Hanya kita yang tahu bagaimana diri kita..Orang lain tidak tahu apa yang tersirat di hati kita melainkan diri kita sendiri.
    Fikir-fikirkanlah, renung-renungkanlah....

Tuesday, January 12, 2010

2 biji mata...

Adakah anda tahu hubungan antara 2 biji MATA anda ??


Mereka berkedip bersama,

Bergerak bersama,

Menangis bersama,

Melihat bersama,

& Tidur bersama...


Meski pun mereka tidak pernah melihat antara satu sama lain...


PERSAHABATAN seharusnya seperti itu..

Kehidupan akan berasa KOSONG tanpa KAWAN...


JUBAH UNTUK IBU...so sad :(

"Apa nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh!!Kenapa kau degil sangat ni? Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik, yang tak menyusahkan aku?", marah ibu.
Along hanya membungkam. Tidak menjawab sepatah apapun.
"Kau tu dah besar Along. Masuk kali ni dah dua kali kau ulang ambil SPM, tapi kau asyik buat hal di sekolah. Cuba la kau ikut macam Angah dengan Alang tu. Kenapa kau susah sangat nak dengar nasihat orang hah?", leter ibu lagi.

Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus membatukan diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Seketika dia melihat si ibu berlalu pergi dan kembali semula dengan rotan di tangannya.

Kali ini darah Along mula menderau. Dia berdoa dalam hati agar ibu tidak memukulnya lagi seperti selalu. "Sekarang kau cakap, kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa kau pukul anak pengetua tu? Cakap Along, cakap!" Jerkah ibu.
Along semakin berdebar-debar namun dia tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Malah, dia juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal sebenar. Si ibu semakin bengang. " Jadi betul la kau yang mulakan pergaduhan ye!? Nanti kau, suka sangat cari penyakitkan, sekarang nah, rasakan!" Si ibu merotan Along berkali-kali dan berkali-kali jugaklah
Along menjerit kesakitan.

"Sakit bu...sakit....maafkan Along bu, Along janji tak buat lagi....Bu, jangan pukul bu...sakit bu..." Along meraung meminta belas si ibu agar tidak merotannya lagi.
"Tau sakit ye, kau bergaduh kat sekolah tak rasa sakit?" Balas ibu lagi. Kali ini semakin kuat pukulan si ibu menyirat tubuh Along yang kurus itu.
"Bu...ampunkan Along bu...bukan Along yang mulakan...bukan Along....bu, sakit bu..!!", rayu Along dengan suara yang tersekat-sekat menahan pedih. Along memaut kaki si ibu. Berkali-kali dia memohon maaf daripada ibunya namun siratan rotan tetap mengenai tubuhnya. Along hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya lagi menahan tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya dirotan, tapi kerana memikirkan tidak jemukah si ibu merotannya setiap hari. Setelah hatinya puas, si ibu mula berhenti merotan Along. Tangan Along yang masih memaut kakinya itu di tepis kasar. Along menatap mata ibu. Ada manik-manik kaca yang bersinar di kelopak mata si ibu. Along memandang dengan sayu. Hatinya sedih kerana telah membuatkan ibunya menangis lagi kerananya.

Malam itu, Along berjaga sepanjang malam. Entah mengapa matanya tidak dapat dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang tadi. Begitulah yang berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini marah ibu sangat memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua sewaktu di sekolah tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke
sekolah untuk membuat aduan kesekian kalinya.
Sewaktu di bilik pengetua, Along sempat menjeling ibu di sebelah. Namun, dia tidak diberi kesempatan untuk bersuara. Malah, semua kesalahan itu di dilemparkan kepadanya seorang. Si Malik anak pengetua itu bebas seolah-olah sedikit pun tidak bersalah dalam hal ini. Along mengesat sisa-sisa air mata yang masih bertakung di kelopak matanya. Dia berlalu ke meja tulis mencapai minyak sapu lalu disapukan pada bekas luka yang berbirat di tubuhnya dek rotanan ibu tadi. Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih tetap terasa pedihnya. Walaupun sudah biasa dirotan, namun tidak seteruk kali ini. Along merebahkan badannya. Dia cuba memejamkan mata namun masih tidak mahu lelap.
Seketika wajah ibu menjelma diruang ingatannya. Wajah ibu suatu ketika dahulu sangat mendamaikan pada pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM, kedamaian itu semakin pudar dan hanya kelihatan biasa dan kebencian di wajah tua itu. Apa yang dibuat serba tidak kena pada mata ibu.
Along sedar, dia telah mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat keputusan yang corot dalam SPM. Tetapi Along tidak pernah ambil hati dengan sikap ibu walau adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti hatinya. Along sayang pada ibu. Dialah satu-satunya ibu yang Along ada walaupun kasih ibu tidak semekar dahulu lagi. Along mahu meminta maaf. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Fikirannya terlalu cacamarba, dan perasaannya pula semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan melayani perasaan, Along terlelap juga.

Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu masih tidak mahu bercakap dengannya. Jika ditanya, hanya sepatah dijawab ibu. Itupun acuh tidak acuh sahaja. Pulang dari sekolah, Along terus menuju ke dapur. Dia mencangak mencari ibu kalau-kalau orang kesayangannya itu ada di situ. Along tersenyum memandang ibu yang terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para dan kemudian mencacap makanan yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong. Mudah-mudahan usahanya kali ini berjaya mengambil hati ibu. Namun, belum sempat dia melangkah ke dapur, adik perempuannya yang baru pulang daripada mengaji terus meluru ke arah ibu. Along terperanjat dan cuba berselindung di sebalik pintu sambil memerhatikan mereka.

" Ibu..ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye!?" Tanya Atih kehairanan. Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang pelbagai jenis seperti itu. Semuanya enak-enak belaka.
Si ibu yang lincah menghiris sayur hanya tersenyum melihat keletah anak bongsunya itu. Sementara Along disebalik pintu terus memerhatikan mereka sambil memasang telinganya.
"Ibu, Atih nak rasa ayam ni satu boleh?" " Eh jangan, nanti dulu. Ibu tau Atih lapar, tapi tunggulah Kak Ngah dengan Alang balik dulu. Nanti kita makan sekali. Pergi naik atas mandi dan tukar baju dulu ye!", si ibu bersuara lembut.
Along menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. 'anak-anak kesayangan ibu nak balik rupanya...' bisik hati kecil Along. "Kak Ngah dengan Alang nak balik ke ibu?", soalnya lagi masih belum berganjak dari dapur. Si ibu mengangguk sambil tersenyum. Di wajahnya jelas menampakkan kebahagiaan. "Oooo patutlah ibu masak lauk banyak-banyak.
Mmm...bu, tapi Atih pelik la. Kenapa bila Along balik, ibu tak masak macam ni pun?". Along terkejut mendengar soalan Atih. Namun dia ingin sekali tahu apa jawapan dari ibunya.
"Along kan hari-hari balik rumah? Kak Ngah dengan Alang lain, diorang kan duduk asrama, balik pun sebulan sekali ja!", terang si ibu.
"Tapi, ibu tak penah masak lauk macam ni dekat Along pun..", soal Atih lagi. Dahinya sedikit berkerut dek kehairanan.
Along mula terasa sebak. Dia mengakui kebenaran kata-kata adiknya itu namun dia tidak mahu ada perasaan dendam atau marah walau secalit pun pada ibu yang sangat disayanginya.
"Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak Ngah dengan Alang dekat stesen bas." , arah ibu. Dia tidak mahu Atih mengganggu kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal yang bukan-bukan. Malah ibu juga tidak senang jika Atih terus bercakap tentang Along. Pada ibu, Along anak yang derhaka yang selalu menyakiti hatinya. Apa yang dikata tidak pernah didengarnya. Selalu pula membuat hal di sekolah mahupun di rumah. Disebabkan itulah ibu semakin hilang perhatian pada Along dek kerana marah dan kecewanya.

Selepas ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia menuju ke Pusat Bandar sambil jalan-jalan buat menghilangkan tekanannya. Tiba di satu kedai, kakinya tiba-tiba berhenti melangkah. Matanya terpaku pada sepasang jubah putih berbunga ungu yang di lengkapi dengan tudung bermanik. 'Cantiknya, kalau ibu pakai mesti lawa ni....' Dia bermonolog sendiri.
Along melangkah masuk ke dalam kedai itu. Sedang dia membelek-belek jubah itu, bahunya tiba-tiba disentuh seseorang. Dia segera menoleh. Rupa-rupanya itu Fariz, sahabatnya. "La...kau ke, apa kau buat kat sini?", tanya Along ingin tahu sambil bersalaman dengan Fariz.
"Aku tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak buat apa kat sini?", soalnya pula. "Aku tak de buat apa-apa, cuma nak tengok-tengok baju ni. Aku ingat nak kasi mak aku!", jelas Along jujur.
"waa...bagus la kau ni Azam. Kalau kau nak beli aku bagi less 50%. Macam mana?" Terlopong mulut Along mendengar tawaran Fariz itu.
"Betul ke ni Riz? Nanti marah kakak kau!", Along meminta kepastian.
"Untuk kawan baik aku, kakak aku mesti bagi punya!", balas Fariz meyakinkannya.
"Tapi aku kena beli minggu depan la. Aku tak cukup duit sekarang ni." Cerita Along agak keseganan.
Fariz hanya menepuk mahunya sambil tersenyum. "Kau ambik dulu, lepas tu kau bayar sikit-sikit." Kata Fariz .
Along hanya menggelengkan kepala tanda tidak setuju. Dia tidak mahu berhutang begitu. Jika ibunya tahu, mesti dia dimarahi silap-silap dipukul lagi.
"Dekat kau ada berapa ringgit sekarang ni?", soal Fariz yang benar-benar ingin membantu sahabatnya itu.
Along menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan dompet berwarna hitam yang semakin lusuh itu. "Tak sampai sepuluh ringgit pun Riz, tak pe lah, aku datang beli minggu depan. Kau jangan jual dulu baju ni tau!", pesan Along bersungguh-sungguh. Fariz hanya mengangguk senyum.

Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui nombor tujuh. Setelah tiba, kelihatan Angah dan Alang sudah berada di dalam rumah. Mereka sedang rancak berbual dengan ibu di ruang tamu. Dia menoleh ke arah mereka seketika kemudian menuju ke dapur. Perutnya terasa lapar sekali kerana sejak pulang dari sekolah petang tadi dia belum makan lagi. Penutup makanan diselak. Syukur masih ada sisa lauk-pauk yang ibu masak tadi bersama sepinggan nasi di atas meja. Tanpa berlengah dia terus makan sambil ditemani Si Tomei, kucing kesayangan arwah ayahnya.
"Baru nak balik waktu ni? Buat hal apa lagi kat luar tu?", soalan ibu yang bernada sindir itu tiba-tiba membantutkannya daripada menghabiskan sisa makanan di dalam pinggan. "Kenapa tak makan kat luar ja? Tau pulak, bila lapar nak balik rumah!", leter ibu lagi.
Along hanya diam. Dia terus berusaha mengukir senyum dan membuat muka selamber seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba Angah dan Alang menghampirinya di meja makan. Mereka berdiri di sisi ibu yang masih memandang ke arahnya seperti tidak berpuas hati.
"Along ni teruk tau. Suka buat ibu susah hati. Kerana Along, ibu kena marah dengan pengetua tu." Marah Angah, adik perempuannya yang sedang belajar di MRSM.
Along mendiamkan diri. Diikutkan hati, mahu saja dia menjawab kata-kata adiknya itu tetapi melihat kelibat ibu yang masih di situ, dia mengambil jalan untuk membisu sahaja.
"Along! Kalau tak suka belajar, berhenti je la. Buat je kerja lain yang berfaedah daripada menghabiskan duit ibu", sampuk Alang, adik lelakinya yang menuntut di sekolah berasrama penuh.
Kali ini kesabarannya benar-benar tercabar. Hatinya semakin terluka melihat sikap mereka semua. Dia tahu, pasti ibu mengadu pada mereka. Along mengangkat mukanya memandang wajah ibu. Wajah tua si ibu masam mencuka. Along tidak tahan lagi. Dia segera mencuci tangan dan meluru ke biliknya.

Perasaannya jadi kacau. Fikirannya bercelaru. Hatinya pula jadi tidak keruan memikirkan kata-kata mereka. Along sedar, kalau dia menjawab, pasti ibu akan semakin membencinya. Along nekad, esok pagi-pagi, dia akan tinggalkan rumah. Dia akan mencari kerja di Bandar. Kebetulan cuti sekolah selama seminggu bermula esok.
Seperti yang dinekadkan, pagi itu selesai solat subuh, Along terus bersiap-siap dengan membawa beg sekolah berisi pakaian, Along keluar daripada rumah tanpa ucapan selamat. Dia sekadar menyelitkan nota buat si ibu menyatakan bahawa dia mengikuti program sekolah berkhemah di hutan selama seminggu. Niatnya sekadar mahu mencari ketenangan selama beberapa hari justeru dia terpaksa berbohong agar ibu tidak bimbang dengan tindakannya itu.
Along menunggang motorsikalnya terus ke Pusat Bandar untuk mencari pekerjaan. Nasib menyebelahinya, tengah hari itu, dia diterima bekerja dengan Abang Joe sebagai pembantu di bengkel membaiki motorsikal dengan upah lima belas ringgit sehari, dia sudah rasa bersyukur dan gembira. Gembira kerana tidak lama lagi, dia dapat membeli jubah untuk ibu.
Hari ini hari ke empat Along keluar daripada rumah. Si ibu sedikit gelisah memikirkan apa yang dilakukan Along di luar. Dia juga berasa agak rindu dengan Along. Entah mengapa hati keibuannya agak tersentuh setiap kali terpandang bilik Along. Tetapi kerinduan dan kerisauan itu terubat apabila melihat gurau senda anak-anaknya yang lain.

Seperti selalu, Along bekerja keras membantu Abang Joe di bengkelnya. Sikap Abang Joe yang baik dan kelakar itu sedikit sebanyak mengubat hatinya yang luka. Abang Joe baik. Dia banyak membantu Along antaranya menumpangkan Along di rumahnya dengan percuma.
"Azam, kalau aku tanya kau jangan marah k!", soal Abang Joe tiba-tiba sewaktu mereka menikmati nasi bungkus tengah hari itu.
"Macam serius jer bunyinya Abang Joe?" Along kehairanan.
"Sebenarnya, kau lari dari rumah kan?" Along tersedak mendengar soalan itu. Nasi yang disuap ke dalam mulut tersembur keluar. Matanya juga kemerah-merahan menahan sedakan.
Melihat keadaan Along itu, Abang Joe segera menghulurkan air. "Kenapa lari dari rumah? Bergaduh dengan parents?" Tanya Abang Joe lagi cuba menduga.
Soalan Abang Joe itu benar-benar membuatkan hati Along sebak. Along mendiamkan diri. Dia terus menyuap nasi ke dalam mulut dan mengunyah perlahan. Dia cuba menundukkan mukanya cuba menahan perasaan sedih.
"Azam, kau ada cita-cita tak...ataupun impian ker...?" Abang Joe mengubah topik setelah melihat reaksi Along yang kurang selesa dengan soalannya tadi.
"Ada" jawab Along pendek
"Kau nak jadi apa besar nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola? Mekanik macam aku...atau...."
Along menggeleng-gelengka n kepala. "semua tak...Cuma satu je, saya nak mati dalam pangkuan ibu saya." Jawab Along disusuli ketawanya.
Abang Joe melemparkan tulang ayam ke arah Along yang tidak serius menjawab soalannya itu.
"Ala, gurau ja la Abang Joe. Sebenarnya....saya nak bawa ibu saya ke Mekah dan...saya....saya nak jadi anak yang soleh!". Perlahan sahaja suaranya namun masih jelas didengari telinga Abang Joe.
Abang Joe tersenyum mendengar jawapannya. Dia bersyukur di dalam hati kerana mengenali seorang anak yang begitu baik. Dia sendiri sudah bertahun-tahun membuka bengkel itu namun belum pernah ada cita-cita mahu menghantar ibu ke Mekah.

Setelah tamat waktu rehat, mereka menyambung kerja masing-masing. Tidak seperti selalu, petang itu Along kelihatan banyak berfikir. Mungkin terkesan dengan soalan Abang Joe sewaktu makan tadi.
"Abang Joe, hari ni, saya nak balik rumah ...terima kasih banyak kerana jaga saya beberapa hari ni", ucap Along sewaktu selesai menutup pintu bengkel.
Abang Joe yang sedang mencuci tangannya hanya mengangguk. Hatinya gembira kerana akhirnya anak muda itu mahu pulang ke pangkuan keluarga. Sebelum berlalu, Along memeluk lelaki bertubuh sasa itu. Ini menyebabkan Abang Joe terasa agak sebak.
"Abang Joe, jaga diri baik-baik. Barang-barang yang saya tinggal kat rumah Abang Joe tu, saya hadiahkan untuk Abang Joe." Kata Along lagi.
"Tapi, kau kan boleh datang bila-bila yang kau suka ke rumah aku!?", soal Abang Joe. Dia risau kalau-kalau Along menyalah anggap tentang soalannya tadi.
Along hanya senyum memandangnya. "Tak apa, saya bagi kat Abang Joe. Abang Joe, terima kasih banyak ye! Saya rasa tak mampu nak balas budi baik abang. Tapi, saya doakan perniagaan abang ni semakin maju." Balasnya tenang. Sekali lagi Abang Joe memeluknya bagai seorang abang memelukadiknya yang akan pergi jauh.

Berbekalkan upahnya, Along segera menuju ke butik kakak Fariz untuk membeli jubah yang diidamkannya itu. Setibanya di sana, tanpa berlengah dia terus ke tempat di mana baju itu disangkut.
" Hey Azam, mana kau pergi? Hari tu mak kau ada tanya aku pasal kau. Kau lari dari rumah ke?", soal Fariz setelah menyedari kedatangan sahabatnya itu.
Along hanya tersengeh menampakkan giginya. "Zam, mak kau marah kau lagi ke? Kenapa kau tak bagitau hal sebenar pasal kes kau tumbuk si Malik tu?"
"Tak pe lah, perkara dah berlalu....lagipun, aku tak nak ibu aku terasa hati kalau dia dengar tentang perkara ni", terang Along dengan tenang.
"Kau jadi mangsa. Tengok, kalau kau tak bagitau, mak kau ingat kau yang salah", kata Fariz lagi.
"Tak apa lah Riz, aku tak nak ibu aku sedih. Lagipun aku tak kisah."
"Zam..kau ni....." "Aku ok, lagipun aku sayang dekat ibu aku. Aku tak nak dia sedih dan ingat kisah lama tu." Jelas Along memotong kata-kata si sahabat yang masih tidak berpuas hati itu.
"Aku nak beli jubah ni Riz. Kau tolong balutkan ek, jangan lupa lekat kad ni sekali, k!", pinta Along sambil menyerahkan sekeping kad berwarna merah jambu.
"No problem...tapi, mana kau dapat duit? Kau kerja ke?" , soal Fariz ingin tahu.
"Aku kerja kat bengkel Abang Joe. Jadi pembantu dia", terang Along.
"Abang Joe mana ni?"
"Yang buka bengkel motor kat Jalan Selasih sebelah kedai makan pakcik kantin kita tu!", jelas
Along dengan panjang lebar.
Fariz mengangguk . "Azam, kau nak bagi hadiah ni kat mak kau bila?" "Hari ni la..." balas Along.
"Ooo hari lahir ibu kau hari ni ek?"
"Bukan, minggu depan..."
"Habis?. Kenapa kau tak tunggu minggu depan je?", soal Fariz lagi.
"Aku rasa hari ni je yang yang sempat untuk aku bagi hadiah ni. Lagipun, aku harap lepas ni ibu aku tak marah aku lagi." Jawabnya sambil mengukir senyum.

Along keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai turun. Namun Along tidak sabar menunggu untuk segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu. Sambil menunggang, Along membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum menerima hadiahnya itu. Motosikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II.
Tiba di simpang hadapan lorong masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira yang cuba mengelak daripada melanggar seekor kucing hilang kawalan dan terus merempuh Along dari depan yang tidak sempat mengelak. Akibat perlanggaran yang kuat itu, Along terpelanting ke tengah jalan dan mengalami hentakan yang kuat di kepala dan belakangnya. Topi keledar yang dipakai mengalami retakan dan tercabut daripada kepalanya, Along membuka matanya perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk si ibu dan dengan sisa kudrat yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang tercampak berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan kain dan kad yang terburai dari kotak itu. Darah semakin membuak-buak keluar dari hidungnya. Kepalanya juga terasa sangat berat, pandangannya berpinar-pinar dan nafasnya semakin tersekat-sekat.
Dalam keparahan itu, Along melihat kelibat orang-orang yang sangat dikenalinya sedang berlari ke arahnya. Serta merta tubuhnya terus dirangkul seorang wanita. Dia tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia sekali apabila dahinya dikucup saat itu. Along gembira. Itu kucupan daripada ibunya. Dia juga dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih memanggil-manggil namanya. Namun tiada suara yang keluar dari kerongkongnya saat itu. Along semakin lemah. Namun, dia kuatkan semangat dan cuba menghulurkan jubah dan kad yang masih digenggamannya itu.
"Ha..hadiah....untuk....ibu........." ucapnya sambil berusaha mengukir senyuman. Senyuman terakhir buat ibu yang sangat dicintainya. Si ibu begitu sebak dan sedih. Si anak dipeluknya sambil dicium berkali-kali.
Air matanya merembes keluar bagai tidak dapat ditahan lagi. Pandangan Along semakin kelam. Sebelum matanya tertutup rapat, terasa ada air hangat yang menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam pangkuan ibu dan dia pergi untuk selama-lamanya.

Selesai upacara pengebumian, si ibu terus duduk di sisi kubur Along bersama Angah, Alang dan Atih. Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan bungkusan yang hampir relai dari beg tangannya. Sekeping kad berwarna merah jambu bertompok darah yang kering dibukanya lalu dibaca.
'Buat ibu yang sangat dikasihi, ampunkanlah salah silap along selama ini. Andai along melukakan
hati ibu, along pinta sejuta kemaafan. Terimalah maaf along bu..Along janji tak kan membuatkan ibu marah lagi. Ibu, Along sayang ibu selama-lamanya. Selamat hari lahir ibu... dan terimalah hadiah ini.....UNTUKMU IBU!' Kad itu dilipat dan dicium.
Air mata yang bermanik mula berjurai membasahi pipi. Begitu juga perasaan yang dirasai Angah, Alang dan Atih. Masing-masing berasa pilu dan sedih dengan pemergian seorang abang yang selama ini disisihkan.
Sedang melayani perasaan masing-masing, Fariz tiba-tiba muncul. Dia terus mendekati wanita tua itu lalu mencurahkan segala apa yang dipendamnya selama ini.
"Makcik, ampunkan segala kesalahan Azam. Azam tak bersalah langsung dalam kes pergaduhan tu makcik. Sebenarnya, waktu Azam dan saya sibuk menyiapkan lukisan, Malik datang dekat kami. Dia sengaja cari pasal dengan Azam dengan menumpahkan warna air dekat lukisan Azam. Lepas tu, dia ejek-ejek Azam. Dia cakap Azam anak pembunuh. Bapa Azam seorang pembunuh dan ... dia jugak cakap, ibunya seorang perempuan gila..." cerita Fariz dengan nada sebak.
Si ibu terkejut mendengarnya. Terbayang di ruang matanya pada ketika dia merotan Along kerana kesalahan menumbuk Malik.
"Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan pada makcik Fariz?" Soalnya dengan sedu sedan.
"Sebab.....dia tak mahu makcik sedih dan teringat kembali peristiwa dulu. Dia cakap, dia tak nak makcik jatuh sakit lagi, dia tak nak mengambil semua ketenangan yang makcik ada sekarang...walaupun dia disalahkan, dia terima. Tapi dia tak sanggup tengok makcik dimasukkan
ke hospital sakit jiwa semula...." Terang Fariz lagi. Dia berasa puas kerana dapat menyatakan kebenaran bagi pihak sahabatnya itu.

Si ibu terdiam mendengar penjelasan Fariz. Terasa seluruh anggota badannya menjadi Lemah. Berbagai perasaan mencengkam hatinya. Sungguh hatinya terasa sangat pilu dan terharu dengan pengorbanan si anak yang selama ini dianggap derhaka.

Monday, January 11, 2010

.
...
.........
"Jadikan dirimu
bagai pohon yang rendang
di mana insan dapat berteduh.

Jangan seperti pohon kering
tempat sang pungguk melepas rindu
dan hanya layak dibuat
kayu api.
...
...
...
...
.........

Saturday, January 9, 2010

Alhamdulillah...kesakitanku beransur pulih

Thanks to Allah...sakit gigi kian beransur pulih,aku sudah mampu meneruskan rutin harianku seperti biasa...dah boleh buat kerja dengan hati yang senang...Alhamdulillah...mungkin ini berkat kesabaran dan kegigihanku makan ubat...hehe...yeke makan ubat? tak silap aku baru berapa biji panadol ku telan sepanjang penderitaanku ni...yang penting sekarang aku dah sihat..Alhamdulillah

Friday, January 8, 2010

sakitnya hanya tuhan saja yang tahu...

Kebelakangan ni kesihatanku sedikit terganggu...mungkin ini hanya dugaan daripada Yang Maha Esa kepada hamba-Nya...dah berapa hari aku sakit gigi, nak tumbuh gigi bongsu..sakitnya hanya Tuhan saja yang tahu...nak makan susah,nak minum susah...boleh dikatakan banyak aktiviti harianku sedikit terganggu...kalau tidur pun asyik terjaga je,5 minit sekali aku akan terjaga...huhu...mak tolonglah anakmu ini...
Kalau kat rumah kan senang, sakit pening mak yang jaga...kat sini walaupun ada kawan-kawan yang prihatin tapi tak sama dengan belaian seorang ibu dan perhatian seorang bapa...aku rindukan saatku kecil-kecil dahulu..dulu...aku selalu sakit perut, dan emak dan abahku akan membawa aku ke rumah seorang nenek yang pandai mengubat orang..nenek itu membuat tali untuk ikat perutku..aku memakainya sehinggalah aku darjah 6 dan selepas itu aku tidak tahu ke mana perginya tali itu...sejak itu aku sudah tidak sakit lagi...Opps!!! terkeluar topik la pulak...he3...

Sudah beberapa kali kawan-kawan menyuruhku pergi ke klinik tetapi aku mengatakan bahawa aku sudah ok. Sebenarnya aku masih lagi sakit gigi tapi aku tidak suka pergi ke klinik. Apa yang aku dapat jika aku ke klinik,aku sudah dapat membayangkannya. Doktor pasti akan memberiku panadol tetapi aku tidak suka makan ubat. Sejak kecil lagi aku tidak mengamalkan ubat-ubat sebegini. aku akan cuba bertahan dan jika ia semakin teruk barulah aku memaksa diriku untuk menelan ubat tu. Bukannya apa, aku tidak suka terlalu bergantung kepada ubat...Ubat-ubat ni tak boleh diamalkan sangat...(alasan je tu...sebenarnya aku memang pengecut dengan benda alah ni.. malu nak mengaku la..he3)

So, bagi kes aku ni aku terpaksa la menelan panadol juga bagi mengelakkan aku daripada demam. Aku pernah melihat sahabatku yang demam teruk akibat sakit gigi, kesian tegok dia menahan kesakitan. Tapi aku tak sampai ke tahap itu lagi, aku rasa keadaanku lebih ok berbanding dia..Mungkin aku kena kuatkan semangat dan meletakkan 'mind setting' yang baik-baik supaya aku tidak terlalu manja dengan penyakit ini. Aku pernah belajar tentang 'apa yang kita fikirkan, itulah yang membentuk diri kita'. jadi aku meletakkan diriku dalam keadaan OK walaupun sakit..jangan manja-manja sebab kat sini ada banyak kerja lagi yang perlu diselesaikan....

chaiyok!!! chaiyok!!! aini....

Tuesday, January 5, 2010

Reunion XPDC menawan Gunung Kinabalu

Tadi kul 8.00 pm team2 xpdc kk wat reunion kat cafe KAB..just lepak2 and makan ABC je...pas2 imbau kembali detik2 indah kt sana..
Best sgt dpt jumpa team xpdc gunung kinabalu..walaupun x semua yg hadir tapi best la jugak sebab dapat mengimbau kenangan manis di sana...manis kerrr?? hmm...manis la bg aku..sebenarnya bila dok beramai2 ni best juga bila cerita balik apa2 yg berlaku kat sana dulu..tp ak xdpt meneruskn cerita pd hari ini kerana aku sakit gigi..huhu...makkkk...tolong, nik sakit gigi..
ok la, nanti kalau ada masa lapang aku sambung balik citer ni ok...:)

Low's Peak berjaya d tawan...

Hanya ungkapan 'alhamdulillah' mampu ku lahirkan sebagai tanda kesyukuranku pada Ilahi kerana insan kerdil ini berjaya menjejak kaki ke puncak kinabalu..ohhh sungguh tak ku sangka & tak ku duga aku mampu menjejakkan kaki ke sana…jika bukan kerana usaha sahabatku yang juga pengarah program 'KEMBARA MILLENIUM' nie aku xde peluang nak pergi sana..thanks Ida and kawan2 lain yang bersama2 ku sepanjang xpdc ini..


Pejam celik…pejam celik...kini dah genap setahun kenangan ini disimpan di sanubariku..kenangan yang paling manis kurasakan sepanjang hidupku..mungkin tidak pada orang lain tapi aku rasakan kenangan ini takkan kulupakan sampai bila2..aku juga menanam tekad untuk ke sana sekali lagi..mungkin bersama 'someone special'...huhu...itu hanyalah angananku semata2 tp InsyaAllah kalau diizinkan inginku jejakkan kakiku ke sana lagi..mungkin juga aku di'posting'kan di sana nanti..aku terima seadanya kalau aku dihantar ke sana..


Di puncak sejukkk, tak tertahan rasanya kalau memakai pakaian biasa..aku membaluti tubuhku dengan beberapa helai baju dan juga sweater..nampak semakin tembam je tapi aku suka dengan keadaan itu..hehe...pakaian yang membaluti seluruh tubuhku usah dikata,bagaikan berada di negara omputih je...cuma xde snow je..tapi aku tak kisah la camne pun,janji aku tak kesejukan..hehe...


Kami berjaya tiba di Low's Peak tepat pukul 5.30 am, 5 Jan 2009...tapi aku agak sedih sebab kabus tebal, x dpt la aku tangkap gambar jelas2 di puncak...aku ni suka bergambar, ke mana saja aku pergi mesti aku bawak kamera..bukannya apa cuma nak wat sebagai kenangan je..lagipun bukan senang nak sampai sini lagi..baik aku gunakan peluang ni sebaik mungkin...kini aku berada sayup2 di atas puncak kinabalu dengan ketinggian 4095.2meter...agak gayat juga bila memandang ke bawah..kalau jatuh confirm m*** la...minta dijauhkan la..Banyak benda lagi yang best2 masa tu..tapi aku ada keje lain nak buatla..so satgi kalau ada masa aku sambung lagi erkk...