Saya tertarik dengan isu "Guru, pelajar celik komputer terus meningkat" yang dimuatkan dalam akhbar BH. Saya telah meng'copy' and 'paste' keratan akhbar tersebut untuk dimuatkan dalam blog saya.
MUHYIDDIN berbincang dengan Brown (kiri) sebelum majlis perasmian Forum Dunia Pembelajaran dan Teknologi di London.
KAJIAN dibuat British Commonwealth Group (BCG) dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri pada 2008 menunjukkan kadar celik komputer di kalangan guru dan pelajar Malaysia adalah tinggi sejak bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) diperkenalkan dalam sistem pendidikan.
Malah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia turut membawa peningkatan dalam keberkesanan dan kreativiti pembelajaran dan pengajaran serta keberkesanan pengurusan dan komunikasi di kalangan mereka yang terbabit.
"Ini adalah hasil inisiatif yang dilakukan dalam menangani cabaran ketika menerapkan ICT dalam sistem pendidikan pada 1997 dan Malaysia boleh berbangga kerana apa yang dilakukan itu memberikan impak yang positif," katanya. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian pada ucaptamanya di Forum Dunia Pembelajaran dan Teknologi yang diadakan di London County Hall di sini, semalam. Forum tiga hari itu dihadiri 75 Menteri Pelajaran dari seluruh dunia.
Muhyiddin berkata, antara inisiatif dilakukan adalah penggunaan layaran video pengajaran melalui laman web yang dimanfaatkan 9,331 sekolah melalui penyediaan rangkaian jalur lebar bagi merapatkan jurang digital sekolah luar bandar dan bandar. Komitmen kerajaan mempertingkatkan ICT dalam sistem pendidikan menyaksikan 6,633 makmal komputer dibina di seluruh negara, selain 3,092 pusat akses sekolah yang menggunakan konsep kafe siber di kawasan luar bandar.
"Bagi menghadapi cabaran ICT dalam pembelajaran, tahap profesionalisme guru adalah kunci dan untuk itu kursus pembangunan yang berterusan untuk pengajar, pentadbir, pengetua dan guru akan diadakan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Britain mahu menjalin hubungan rapat dengan Malaysia dalam bidang pendidikan sebagai usaha meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara. Muhyiddin berkata, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Britain, Gordon Brown ketika pertemuan mereka pada majlis pembukaan Forum Dunia Pembelajaran dan Teknologi di sini, kelmarin.
Malam kelmarin, Muhyiddin turut melancarkan logo dan kempen 2010 Malaysia Kitchen yang diadakan di Restoran Jom Makan di sini. Kempen yang dijalankan sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat London mengenai masakan Malaysia adalah inisiatif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Sementara itu tukang masak terkenal Britain yang juga dikenali kerana kritikan pedasnya terhadap masakan, Gordon Ramsay, ketika ditemui berkata, beliau amat menyukai masakan Malaysia kerana keunikannya.
(Sumber: Berita Harian; Ahad, 17 Januari 2010)






No comments:
Post a Comment